Antara tanggunjawab suami pada ibu dan isteri. Mana lebih utama?



PM admin Jika ingin berikan iklan responsive


Soalan:
Antara tanggungjawab suami pada ibu dengan tanggungjawab ke atas keluarga (isteri dan anak-anak): mana yang lebih utama?

Jawapan:

Tanggungjawab terhadap ibu bapa merupakan satu kewajipan yang utama dan termasuk dalam perintah berlaku ihsan pada kedua ibu bapa yang dituntut dalam agama.Berlaku ihsan pada ibu bapa ini pula meliputi ketaatan kepada perintah kedua ibu bapa kita, menyantuni dan melayan keduanya dengan baik dan menggembirakan hati mereka. Malah menjaga dan memberi nafkah bagi menampung keperluan hidup mereka juga termasuk dalam erti kata berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.

Dalam hal mentaati ibu pula, diberikan penekanan yang sangat jelas oleh Rasulullah s.a.w. dalam menunjukkan betapa kedudukan ibu itu sangat tinggi dalam agama. Ini dapat dilihat melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:

“Seseorang datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya: “Kemudian siapa lagi?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi?” Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi.” Nabi s.a.w. menjawab: ‘Kemudian ayahmu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kedudukan Tinggi Seorang Ibu Dalam Agama

Menurut Imam Ibn Battal dalam kitab Fathul Bari Syarh Sahih Bukhari karangan Al-Hafiz Ibn Hajar, hadis ini menunjukkan kepada keutamaan darjat ibu sehingga disebutkan lafaz ibu sebanyak tiga kali berbanding lafaz bapa yang hanya disebutkan sebanyak satu kali sahaja.

Rahsia dan hikmah Rasulullah s.a.w. menyebut lafaz ibu sebanyak tiga kali dan lafaz ayah hanya satu kali ini (3:1 atau tiga nisbah satu), menurut Ibn Battal ialah kerana hakikat bahawa ibu menghadapi kesulitan dalam menghadapi masa hamil (1), kesulitan ketika melahirkan (2), dan kesulitan pada saat menyusui (3) anak, yang mana kesemuanya hanya dialami oleh si ibu sahaja. Manakala dari sudut membesarkan dan pentarbiyahan ia dikongsi sama antara ibu dan ayah.

Malah Allah s.w.t. sendiri mengakui hal ini dalam firman-Nya melalui surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”

Begitu juga dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya sampai menyusunya adalah sehingga tiga puluh bulan (Yakni minimum usia hamil paling kurang sampai melahirkan adalah 6 bulan, ditambah 2 tahun (24 bulan) menyusui anak, jumlahnya menjadi 30 bulan)”.

Berlaku Ihsan Pada Kedua Ibu Bapa Sebelum Berumahtangga

Keutamaan untuk berbuat baik pada ibu bapa adalah mutlak bagi seorang anak lelaki mahupun perempuan sebelum mereka berumahtangga, kecuali dalam keadaan di mana perintah kedua orang tua mempunyai unsur maksiat, maka ia wajib diingkari. Namun, tetap kita diminta untuk mengingkari dengan cara yang sopan dan usah sampai berkasar atau sampai ke peringkat mengecilkan hati kedua ibu bapa.

Perintah mentaati kedua orang tua juga tetap tidak berubah walaupun ibu dan bapa bukan beragama Islam, ataupun ibu bapa kita seorang yang fasik yakni orang yang melakukan dosa besar.

Namun apabila seorang Muslim itu bernikah, beliau mempunyai tanggungjawab baru yang tidak kurang pentingnya di sisi agama.

Beliau bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami, atau dengan perkongsian nafkah bagi kes isteri yang turut sama bekerja, jika si isteri bersetuju dan keduanya bersepakat bagi gaya hidup tertentu dan tidak dimampui, andainya si suami seorang sahaja yang bekerja.

Peranan seorang suami dan bapa di sini bukan hanya sekadar menyara keluarga, lebih dari itu bapa berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga, di samping keperluan memberikan pendidikan dan asas pendidikan Islam untuk anak-anaknya.

Keutamaan Yang Berbeza Setelah Berumahtangga

Namun suka diingatkan, bahawa tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya juga tidak akan berakhir walaupun dirinya telah berkahwin. Cuma berbeza dengan ketika sebelum bernikah, keutamaan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang suami dan bapa.

Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kerana lantaran terlalu sibuk dengan ibu atau bapa sendiri sehingga mengabaikan keluarga baru iaitu isteri dan anak-anak juga merupakan sesuatu yang dilarang agama.

Untuk menilai keutamaan antara ibu atau dan keluarga sendiri bagi mereka yang sudah berumahtangga juga merupakan satu perkara yang subjektif, dan sukar untuk diberikan jawapan yang konsisten kerana ia kembali kepada contoh dan senario yang tertentu, yakni lain keadaan dan masa, lain pula keutamaannya.

Dalam isu hubungan antara suami bersama isteri dan ibu atau bapa, banyak keadaan di mana si suami kadangkala terhimpit di tengah-tengah, iaitu antara mengikut kata ibu atau isteri. Atas sebab itu, penting bagi seorang suami mempunyai kepimpinan yang tinggi dan berani membuat keputusan yang tepat, walaupun kadangkala menyinggung hati isteri ataupun ibu, jika itulah yang terbaik di sini agama.

Bagi menjelaskan perkara keutamaan antara ibu atau kedua ibu bapa dan isteri, saya berikan tiga senario berikut agar para pembaca dapat mudah memahami apa yang saya maksudkan.

Senario 1:

Ibu mendesak agar anak lelaki membawa isteri tinggal bersama atau tidak mengizinkan anak lelaki berpindah rumah sendiri. Si isteri pula berkeras dan bermati-matian untuk tinggal di rumah sendiri atau berpindah rumah jika belum mempunyai rumah sendiri.

Akhirnya si suami mendengar kata si isteri disebabkan si suami memahami benar perangai isteri dan juga ibunya. Iaitu jika keduanya kekal tinggal bersama, keadaan mungkin lebih menjadi huru hara dan tidak terkawal, bahkan tidak mustahil ia boleh membawa kepada perceraian pula.

Atas alasan jangka masa panjang, maka si anak membuat keputusan untuk berpindah dari rumah ibu dan membeli rumah lain. Dalam keadaan ini, si ibu mungkin kecil hati.

Namun suka diingatkan di sini, menyediakan tempat tinggal untuk keluarga juga merupakan satu kewajipan suami dan juga hak seorang isteri, yang mana jika tidak dipenuhi, bermakna kegagalan kita menjalankan salah satu tanggungjawab sebagai suami dan memenuhi hak isteri.

Walaupun berkemungkinan besar pada mulanya si ibu mungkin merajuk dan berkecil hati dengan tindakan kita, namun sebagai anak perlu untuk kita memujuk dan memahamkan ibu, serta menjelaskan secara objektif di sebalik keputusan yang dibuat.

Insha Allah lama-kelamaan ibu akan dapat menerima hakikat.

Keputusan yang jelas matlamatnya, pastinya akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak dari segi jangka panjang.

Pada masa yang sama, keputusan untuk berpindah rumah atau tidak juga perlu melihat keadaan dan latar belakang ibu atau bapa. Andai kata, ibu atau bapa atau keduanya masih lagi sihat dan kuat serta mampu bekerja; atau ibu atau bapa sudah tua, tetapi terdapat adik beradik lain yang sudi menjaga, maka tidak mengapa dalam keadaan ini suami memberi keutamaan kepada isteri dan anak-anak dengan berpindah rumah dan memenuhi hak isteri.

Senario 2:

Situasi yang hampir serupa dengan senario yang pertama, tetapi ibu bapa kita sudah tua dan uzur atau ibu dan bapa kita kematian suami atau isteri  dan tinggal keseorangan, dan sudah lanjut usia serta uzur pula.

Situasi ini juga melibatkan anak lelaki yang merupakan anak tunggal, atau dalam keadaan adik beradik yang lain langsung tidak mengendahkan keadaan ibu atau bapa mereka.

Maka dalam keadaan ini, wajib si anak memberi keutamaan kepada orang tua dan tinggal bersama mereka atau membawa mereka tinggal bersama isteri dan anak-anak, walaupun keputusannya ini mendapat bangkangan keras dari si isteri.

Ini kerana menurut hak isteri dalam situasi ini adalah amat tidak wajar, malah isteri perlu menunjukkan keihsanan terhadap mertuanya kerana keadaan yang sudah disebutkan tadi.

Ingatlah, kegagalan berbakti kepada ibu bapa dalam senario ini boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga, sebagaimana yang disebutkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” (Riwayat Imam Muslim)

Sedangkan jika si suami mengikut alasan isteri, maka dalam jangka panjang hubungan isteri dan anak lelaki bersama si ibu boleh menjadi keruh, dan tidak mustahil ini boleh menjejaskan perkahwinan mereka berdua kelak dalam jangka masa panjang.

Ingatlah, bagi setiap keadaan dan situasi mempunyai keutamaan yang berbeza-beza. Setiap keputusan pula perlulah objektif dan berlandaskan perintah agama secara menyeluruh. Jika ini dapat dilakukan, Inshaallah selaku anak dan suami, mereka bakal mendapatkan penghormatan dari ibu dan isteri.

Ibu dan isteri pastinya tidak selalu setuju dengan keputusan anak lelaki atau suami, tetapi jika keputusan kita adalah jelas dan melihat kepada kesan jangka panjang bagi keluarga dan menurut ruh ajaran Islam, maka lambat laun sesudah keadaan menjadi tenang, keduanya akan dapat memahami rasional di sebalik keutamaan dan keputusan yang dilakukan.

Semoga penerangan saya ini mampu memberikan sedikit pencerahan bagi isu yang saudara kemukakan.

Nota: Artikel ini merupakan versi tanpa suntingan penulis bagi kemusykilan agama yang sama yang telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah, Berita Minggu Singapura pada  23 Februari 2014.

Sumber: abahyasir.com

iklan iklan saiz 250


0 Response to "Antara tanggunjawab suami pada ibu dan isteri. Mana lebih utama?"

Post a Comment