7 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Rumahtangga SEBARKAN !!!



PM admin Jika ingin berikan iklan responsive




Rumahtangga adalah tempat untuk dua manusia yang saling menyayangi membina keluarga dan jati diri untuk menjadi individu yang lebih baik dari sebelumnya. Ia bukan tempat bagi melepaskan segala amarah, caci maki yang terpendam dalam diri.
Keharmonian rumahtangga itu dapat dirasai jika pasangan saling bantu-membantu melaksanakan tugas mahupun tanggungjawab secara bersama. Bagi mengekalkan lagi keharmonian ini, ada perkara yang perlu dielakkan. Antaranya seperti berikut;

#1 – Tidak Mengaibkan Pasangan

Aib adalah perkara yang memalukan. Siapapun pasti tidak mahu jika aib dirinya dibuka pada umum bukan? Begitu juga dalam hubungan rumahtangga. Sekalipun kita tahu aib/kekurangan/kelemahan pasangan, usahlah ceritakan hal tersebut kepada orang lain.
Biarlah hanya kalian berdua yang tahu mengenai hal tersebut. Ingatlah, jika kita menyimpan aib seseorang di dunia, Allah SWT akan menyembunyikan aib kita di akhirat kelak.
“Dan, barangsiapa yang menutupi (aib) seorang Muslim sewaktu di dunia, maka Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat.”(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

#2 – Tidak Merendah-Rendahkan Pasangan

Tidak memperlekehkan atau merendah-rendahkan pasangan sama ada di khayalak umum atau ketika kalian berdua. Tidak dinafikan, kini ramai dalam kalangan wanita lebih berjawatan berbanding lelaki.
Sekalipun begitu keadaannya, beringatlah bahawa suami adalah ketua keluarga bukan majikan yang perlu direndah-rendahkan martabatnya.

#3 – Tidak Melupakan Tanggungjawab

Tahukah kita, salah satu faktor keruntuhan rumahtangga adalah apabila pasangan sama ada pihak suami atau isteri itu lupa dengan tanggungjawab masing-masing.
Kadang, ada yang tahu tetapi, buat-buat lupa dan melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pasangan untuk menguruskannya sendirian. Usahlah begitu. Bukankah perkahwinan itu adalah untuk saling melengkapi.

#4 – Tidak Berlakon Dan Menipu Pasangan

Kadang, ada orang berasakan tindakan dirinya yang berlakon dengan berpura-pura baik di hadapan pasangan demi memuaskan hati pasangan itu adalah perkara yang baik. Tetapi, hakikatnya ia akan memakan dirinya sendiri. Seburuk manapun suatu perkara itu, cubalah untuk berkata dengan jujur.
Kepercayaan terhadap pasangan juga boleh memudar jika sikap ini terus digunapakai dalam perhubungan. Ingatlah, sekali kita berkhianat dengan pasangan, ia akan meninggalkan kesan dalam hatinya.

#5 – Tidak Mengancam Atau Mengugut

Elakkan untuk cuba menakutkan pasangan dengan cara ugutan atau ancaman. Sebagai contoh, “Kalau awak masih bersikap begini, saya akan keluar dari rumah ini.”
Pasangan juga adalah manusia yang tidak lari dari sebarang kesilapan. Dibimbangi, setiap kata-kata yang keluar dari mulut kita itu mengandungi ayat yang boleh menyebabkan perceraian secara tidak langsung.
Ancaman atau ugutan juga menyebabkan pasangan berasa ketakutan dan kasih sayang yang ikhlas di hati sebelum ini juga boleh bertukar menjadi keterpaksaan.

#6 – Tidak Mengkritik Pasangan

Sebelum melihat kekurangan pasangan dan mengkritik segala perilakunya, cuba semak dan perhatikan diri kita terlebih dahulu. Adakah kita benar-benar sempurna dan tiada cacat celanya? Hargailah pasangan bukan mengkritik.
Jika pasangan melakukan kesalahan, tegurlah dengan cara berhikmah, berikan kata-kata positif dan membina jati dirinya.

#7 – Tidak Mengungkit

Perkara begini biasanya boleh berlaku apabila kita berada dalam suasana yang tegang antara pasangan. Ini kerana masing-masing tidak mahu mengaku kalah dan ego dengan diri sendiri. Benang yang basah hendak juga ditegakkan.
Perbuatan mengungkit perkara terdahulu bukan hanya meredakan permasalahan, akan tetapi ia akan mengeruhkan lagi sesuatu hubungan itu. Bahkan, ia turut mencacatkan amalan kebaikan yang telah kita lakukan dahulu.
Daripada 7 perkara ini, cuba semak kembali adakah kita pernah melakukan hal tersebut? Jika ada, segeralah beristighfar. Sesungguhnya, dengan istighfar akan menghilangkan satu titik hitam di dalam hati.
Benar, dalam hidup berumahtangga ini tidak semuanya dilalui dalam kemanisan. Mungkin, hari ini kita berasa sayang yang bersangatan kepada pasangan dan pada hari lain, kita rasa benci yang meluap-luap kepadanya tanpa sebab yang munasabah. Itulah antara ujian dalam hidup berumahtangga dan berpasangan.
Insya-Allah, selagi kita menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan, pasti Allah SWT akan memandu perjalanan rumahtangga yang dibina. Akhir kalam, lazimilah doa kesejahteraan buat ahli keluarga saban hari tanpa jemu agar dilindungi daripada perkara yang tidak diingini. Seterusnya, ia akan membawa gerbang perkahwinan dan rumahtangga anda ke syurga sana. Wallahua’lam.
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa.”(Surah Al-Furqan ayat74)


iklan iklan saiz 250


0 Response to "7 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Rumahtangga SEBARKAN !!!"

Post a Comment