6 Tips Berguna Kawal Perbelanjaan Semasa Bulan Ramadhan



PM admin Jika ingin berikan iklan responsive

tips berguna kawal perbelanjaan semasa bulan ramadhan
Kredit foto: Thenewstraitstimespressphotography

Pejam celik pejam celik, kita sudah semakin hampir dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah serta lebih baik dari seribu bulan. Namun, antara masalah yang sering dihadapi masyarakat kita pada bulan mulia ini ialah pembaziran. Kami sediakan beberapa tips untuk anda sekeluarga supaya dapat mengelakkan diri dari amalan syaitan ini.

1. Berbelanja mengikut perancangan


Pertama sekali, rancang perbelanjaan barangan keperluan lebih kurang 2 minggu sebelum Ramadhan bermula. Buat senarai harian secara terperinci dan beli item secara pukal. Elakkan membeli barangan yang tiada dalam senarai. Ini bagi memastikan anda tidak lari bajet sewaktu mengunjungi kedai runcit atau pasaraya.

2. Jangan membazir ketika beli juadah berbuka


Pastikan anda buat anggaran jumlah ahli keluarga atau tetamu yang akan ada berbuka puasa bersama. Jangan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan makanan tidak diluak dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah. Beli juadah yang anda benar-benar boleh habiskan sewaktu berbuka. Pastikan juga peti ais dan rak makanan anda sentiasa tersusun rapi bagi mengelakkan pembaziran barangan makanan yang sudah dibeli. 

tips berguna kawal perbelanjaan semasa bulan ramadhan 1
Kredit foto: blogfyna.com

3. Jangan membuat iftar di luar kemampuan


Jangan membazir dengan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk tujuan bermegah atau menunjuk-nunjuk. Ingat, bukanlah tujuan sebuah majlis iftar itu diadakan untuk berbangga dengan kemewahan dan harta kekayaan yang anda ada. Memadailah untuk mengajak teman rapat, jiran atau saudara-mara terdekat sahaja.

tips berguna kawal perbelanjaan semasa bulan ramadhan 2
Kredit foto: rofizah2020.blogspot.com

4. Elak beli-belah di siang hari


Elakkan dari membeli barang masakan atau makanan sewaktu anda sedang berpuasa. Ini kerana anda akan cenderung untuk membeli barangan yang melebihi dari yang sepatutnya. Sebaiknya, kunjungi pasaraya selepas solat Maghrib. Latih diri untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk iklan promosi. 

5. Beli makanan dalam pek kecil berbanding besar


Membeli dalam kuantiti yang terlalu banyak boleh mengakibatkan pembaziran. Diingatkan juga untuk anda semak terlebih dahulu tarikh luput kesemua produk yang ingin dibeli. Ingat, beli makanan yang berkhasiat sahaja. Sebagai contoh, elakkan dari membeli minuman ringan sewaktu berbuka dan sahur kerana ianya boleh mengakibatkan masalah buah pinggang yang kronik. Minumlah air putih kerana ianya bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga malah dapat dihadam dengan baik.

6. Buat perbandingan harga


Untuk berjimat, sebaiknya anda buat perbandingan harga terlebih dahulu di internet atau dapatkan katalog pasaraya-pasaraya terkemuka yang ada. Kebiasaannya akan ada produk alternatif yang boleh didapati dengan harga yang lebih murah di pasaraya tertentu. Tahan diri dari membeli barang yang tidak mahu dibeli meskipun ianya datang dengan diskaun atau tawaran hebat seperti 'beli 1 percuma 1'. Percayalah, ianya hanya taktik pemasaran yang bertujuan untuk menarik perhatian anda.

tips berguna kawal perbelanjaan semasa bulan ramadhan 3
Kredit foto: en.yelp.my

Kesimpulannya, cuba hayati maksud sebenar bulan Ramadhan ini dan anda pasti akan bersederhana dari segi perbelanjaan dan aspek lain. Ingat, apa yang mendorong kita untuk membazir adalah nafsu semata-mata. Apakata kita cuba memenuhi tuntutan agama dan mengurangkan perkara duniawi yang melalaikan. Selamat menyambut bulan Ramadhan! 



iklan iklan saiz 250


0 Response to "6 Tips Berguna Kawal Perbelanjaan Semasa Bulan Ramadhan"

Post a Comment